Faizal Tahir, naib juara One In A Million (pertandingan ala American/Pop Idol), di’ban’ dan 8TV ditarik kebenaran untuk menyiarkan siaran hiburan secara langsung. Semuanya kerana dalam satu rancangan hiburan secara langsung di 8TV tempoh hari, Faizal telah membuka baju dan melontarkan bajunya kepada orang ramai. Maka terdedahlah badan dia di khalayak semua penonton, baik di studio mahu pun di rumah.
Apa kamu rasa sekarang? Geram? Marah? Benci?
Haih, apalah! Aku secara terus terang tidak rasa apa-apa. Dia nak buka baju, bukalah. Tak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada sesiapa pun, tak ada orang yang menjadi buta pun setelah melihat badannya itu.
Tapi seperti biasa, media berjaya mengapi-apikan hal remeh ini, ramai jugalah yang kononnya cerdik pandai memberikan pendapat
“Oh ini satu perbuatan yang tidak patut…”
“Ya! Tindakan tegas perlulah…”
“Cis, dia ini sudah lupa daratan! Mari kita buang dia ke laut…”
Aku tak mahu tulis panjang pasal hal Faizal Tahir ini kerana:
1)Cerita lapuk, berlaku dah lebih dari seminggu.
2)Dah banyak yang diulas oleh pelbagai akhbar/majalah tempatan (mastika?).
Apa yang aku mahu kongsi bersama di sini adalah kisah yang, walaupun lebih lama tapi bagi aku impak dan proporsinya cukup besar sehingga aku rasa adalah menjadi keperluan untuk aku menulis tentangnya.
Kisah Faizal ini semacam ‘catalyst’ lah kiranya, membuatkan aku akhirnya mahu menulis tentang persoalan yang aku bakal kemukakan.
Pada 9 September 2006, jenazah Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhamad Amin, dua orang tokoh negara yang dibuang negeri kerana melawan pengaruh British menerusi komplot yang akhirnya membawa kepada pembunuhan JWW Birch (si residen pertama Perak), dibawa pulang dari Singapura dan dikebumikan semula di Perak, kampung halaman mereka.
Selepas 129 tahun di dalam buangan, akhirnya barulah mereka dapat pulang ke tanah air. Pilu juga rasanya bila aku baca dalam liputan tak lama kemudian yang (mengikut catatan dan kisah cucu cicitnya) Ngah Ibrahim telah berkali-kali menyatakan hasratnya untuk pulang ke Perak namun tetap tidak kesampaian hinggalah ke akhir hayatnya.
Pada pendapat aku, kisah kepulangan wira-wira ini memang hebat. Impaknya juga besar, mampu menyemai perasaan ‘gratitude’ kepada golongan lama, sejarah dan juga menyemai perasaan cintakan bangsa dan negara.
Aku pun bukanlah patriotik mana, tapi aku tidak nafikan yang sifat patriotik pada kadar yang sihat memang bagus! Nanti kuranglah sikit bilangan mat-mat rempit, ‘litterbugs’, ‘vandals’ dan golongan
yang entah apa-apa -eg: Geng ‘neo-nazi’– Bukan kulit putih tapi neo-nazi, macam mana tu? (aku dapat mengesan unsur-unsur kebodohan yang tebal di sini).
Tapi malang! Kalau ada pun yang mengikuti kisah Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhamad Amin ini, kebanyakannya golongan pakcik makcik (itu pun hanya yang ambil kisah dan menghargai sejarah). Masyarakat umum dan golongan remaja pula pada kala itu sebenarnya sedang tertumpu pada kisah lain.
Pada sekitar tarikh yang sama juga, Mawi dan Diana Naim sedang berada dalam krisis ‘relationship’. TV asyik-asyik nak ceritakan hal itu, akhbar pun sama. Balik-balik, muka Mawi dan Diana Naim yang terpampang. Sudah putus tunanglah, sedihlah, dulu macam inilah, sekarang macam itulah. Bagus..bagus..syabbas.
Sehari selepas ketibaan jenazah Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhamad Amin ke tanah air, aku beli akhbar dan...
Cerita kepulangan jenazah wira-wira Negara ada di muka ke-3 atau ke-4. Muka hadapan sekali ada muka-muka ini, lengkap dengan warna dan ‘lettering’ besar.
“Apa kejadahnya semua ini?! ” begitulah kot lebih kurang reaksi bekas seorang pengacara NTV7 kalau dia yang berada di tempat aku ketika aku menatap akhbar hari itu.
Mudah saja persoalan aku. Mana berita yang lebih penting dan besar manfaatnya? Kisah kepulangan jenazah wira-wira negara yang mengorbankan titisan darah dan air mata untuk generasi sekarang atau kisah krisis pertunangan artis-artis?
Kalau pun tidak berminat dengan sejarah, tak apa. At least, show some respect! Those two statesmen sacrificed A LOT! Takkan nak letak kisah mereka di muka depan pun susah?
Persoalan yang lebih besar pula begini. Siapa yang punya tanggungjawab ni?
Adakah ini selera media? (media yang menentukan sendiri bahan yang disajikan)
-atau-
Adakah ini selera orang ramai? (dan media hanya menyuap apa yang orang ramai mahu)
Apa pendapat kamu?
P/S: Rupa-rupanya ada blog yang memang didedikasikan khas untuk Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhamad Amin. Maklumat dan bacaan lanjut ada di sana.