Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts

Thursday, January 3, 2008

Pemerhatian (Observation)

Sebenarnya aku hendak tulis 'observasi' tapi buruk bunyinya, maka aku tulis pemerhatian.

Apa yang aku nampak ini agak menarik dan mungkin juga lucu sedikit (mungkin).

Sebelum aku terus menulis, biar aku nyatakan disini yang hal-hal yang berlaku ini semuanya berlaku secara kebetulan semata-mata.


2/1/08-10:15 pm
------------------
Seorang rakan aku datang ke tempat aku, dibawanya bersama cd cerita 'Impak Maksima' (arahan Ahmad Idham, dibintangi Eizlan Yusof, Awal, dan lain lain lagi yang aku tak kenal sangat). Aku jarang menonton filem tempatan, bukan memandang rendah tapi tak kena dengan citarasa aku. Aku manusia yang perlukan stimulasi; Biarlah fizikal, mental, intellektual -apa jua bentuk sekalipun dan filem tempatan jarang sekali dapat mengisi kehendak aku ini.

Berbalik kepada perkara pokok. Apabila rakan aku menonton cerita Impak Maksima, aku pun tumpang sekali, bukan apa -curiosity. Boleh tahan juga efek-efeknya walaupun kadang-kadang CGInya hanya mencapai tahap kartun Usop Sontorian. Jalan cerita? ada, tapi tak kuat sangatlah, kurang 'solid'. Sesetengah babak nampak seperti dicedok dari cerita Too Fast Too Furious: Tokyo Drift.

Tapi yang lebih menariknya bagi aku adalah budaya yang di di'potray'kan dalam filem ini (dan mana-mana filem tempatan lain yang bercorak sama). Mat-mat rempit dengan bahasa dan gayanya, geng-geng lumba haram yang berkumpul dan berlawak sesama sendiri dengan gaya ala-cool dan jangan kita lupakan, ketua/kepala samseng yang sudah tentu ada 'flair' tersendiri. (mungkin rambut tutup sebelah mata atau misai dan janggut Van Dyke etc)

Apa yang aku terfikir adalah, sekiranya filem-filem begini mendapat sambutan dikalangan golongan muda melayu, adakah mereka akan terpengaruh, sedikit jika tidak banyak dengan budaya yang digambarkan? Maksud aku, adakah mereka akan mengajuk-ajuk dialog, cara bercakap, pemakaian, tingkah laku dan lain-lain dengan fikiran bahawa apa yang mereka lakukan itu juga adalah 'cool' seperti yang dilihat dalam filem.


3/1/08-1:30 pm
-----------------
Aku melangkah ke sebuah kedai untuk makan tengah hari, bersama dengan aku dua orang lagi rakan. Meja tempat aku dan rakan-rakan duduk kebetulan bersebelahan dengan meja dua orang gadis muda, memang muda lagi, baru balik sekolah menengah dan masih dalam uniform, umur mungkin sekitar 14-15 tahun.

Tidak lama kemudian datang pula seorang remaja lelaki, terus duduk semeja dengan dua orang gadis tadi, mungkin sudah ada temujanji. Remaja lelaki ini umurnya mungkin lingkungan 18-19 tahun, baru tamat sekolah dan bebas.

Apa yang menariknya adalah gaya remaja lelaki ini seolah-olah dia ini watak tambahan yang menjelma keluar dari filem yang aku baru lihat semalam. Baju T kecil ketat berwarna oren, seluar jeans ketat berwarna hitam, tali pinggang berkepala tengkorak, kasut but hitam, rambut perang gaya faux-hawk, dilengkapkan dengan spek hitam jenis aviator. Tak apalah, ini semua fesyen dan pilihan individu, fikir aku.

Aku teruskan perbualan dengan rakan-rakanku sambil menikmati makanan tengah hari aku. Bagi aku ruang peribadi sesiapa pun haruslah kita hormati, begitu juga hal-hal peribadi, tak elok cuba membaca sms orang atau cuba mencuri dengar perbualan orang, namun remaja lelaki ini bercakap dengan lantang, maka terdengarlah aku akan percakapannya.

Wah! Cara cakap pun sama macam samseng cerita melayu. Gadis dua orang pula ketawa mengekek mendengar kisah-kisah si abang macho.

"Ini...ini abang Sam la! (tepuk dada) Kalau budak tu buat hal lagi..aku cari dia sampai dapat!"

Maka setelah habis makan tengah hari dan melangkah keluar dari kedai aku tersenyum sendiri, rasanya aku sudah dapat menjawab persoalan aku sendiri semalam.

P/S: Aku bukan Mastika. Aku tidak mengadili tindak tanduk remaja-remaja ini seolah-olah aku memegang kompas moral lalu melabel mereka ini sebagai 'rosak' atau apa-apa lagi terma yang digunakan majalah Mastika.

Aku faham, peringkat remaja adalah peringkat mencari identiti, dalam proses pembentukan identiti sudah tentulah banyak elemen yang perlu dicuba dan dicerna. Cuma aku harap remaja-remaja ni lain kali akan menggunakan sumber rujukan yang lebih 'concise' dan bermakna dalam membentuk identiti, janganlah asyik jadikan filem tempatan sebagai sumber rujukan.

Dan ya, aku tidak suka Mastika.

Mastika = Racun pemikiran orang Melayu kebanyakan.