Begini, tahun lalu aku telah menghadiri Sunday mass di sebuah gereja protestan. Ini bukan lawatan ramai-ramai atau lawatan berpemandu (guided tour) ya, aku pergi sebagai salah seorang dari hadirin biasa. Mungkin rupa aku ini jenis yang tak mudah nak dicop sebagai muka Melayu tipikal, maka aku masuk begitu sahaja, pastor yang menyambut semua hadirin di pintu pun salam dan senyum pada aku sama macam yang dia buat pada orang lain juga, dan didalam pun tak ada orang pandang-pandang atau tunjuk-tunjuk ke arah aku. Bagus! Memang ini yang aku mahu, biar aku sebati, mengalami dan memerhati semuanya seperti mana-mana pengunjung biasa perhati dan alami pada mana-mana Ahad.
Acara bermula dengan kumpulan muzik memainkan nasyid di atas pentas (nasyid kristian lebih happening, macam lagu pop rock, dan sememangnya boleh mengalahkan NowSeeHeart, InTeam dan Brothers bila-bila masa sahaja). Habis nasyid di dendangkan, pastor pun berdiri dibelakang podium dan mula memberi khutbah.
Point 1:
-----------
Khutbahnya bukan seperti khutbah hari Jumaat yang tema utama selalunya – orang zaman sekarang sudah ‘rosak’ dan orang zaman dulu itulah yang mulia dan kita harus jadi seperti dulu. Ditambah dengan sesi marah-marah generasi yang ‘rosak’ dan sesi mengulang semula azab dan hukuman seperti banjir, gempa bumi, perang, dan bencana lain bagi orang-orang ‘rosak’.
Apabila sudah habis marah-marah, elemen ini pula - negara kita aman makmur dan kerajaan telah banyak melaksanakan kebaikan, maka semua hendaklah berterima kasih dan bersyukur.
Sungguh berbeza! Khutbahnya adalah berkenaan amal kebajikan yang baru dilaksanakan ahli jawatankuasa gereja pada minggu sebelumnya, tentang bagaimana hasil kutipan derma 2-3 minggu lalu telah digunakan untuk menyediakan makanan, pakaian, medical check-up serta konsultasi percuma untuk fakir miskin yang tinggal di jalanan sekitar Kuala Lumpur. Sambil pastor memberi khutbah, projektor menayangkan rakaman yang membolehkan semua hadirin menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana belas kasihan dan goodwill yang mereka curahkan dalam bentuk derma tidak lama dulu digunakan bagi membantu manusia lain yang berada dalam kesusahan.
Acara diteruskan lagi dengan sedikit bacaan doa -mengharapkan keadaan manusia yang menerima bantuan kini lebih baik.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Point 2:
---------
Khutbah diteruskan sedikit lagi, tapi kali ini menyentuh tentang hadis Jesus (Yeshua/Isa) dan isi kandungan Bible serta cara mengaplikasi isi kandungan ini dalam kehidupan. Memang betul, dalam Bible pun ada disebut tentang neraka, azab dan hukuman, tapi approach si pastor berbeza dari apa yang selalu diwar-warkan orang Melayu kuat agama umumnya.
Dia tidak fokus kepada kemarahan dan azab tuhan, tapi yang lebih diutamakan dan sangat ditekankan adalah kasih sayang tuhan. Tentang bagaimana dan apa sekali pun, yang paling penting adalah tuhan sayangkan kamu semua. Jadi kata-katanya tidak meng-kondem orang ‘rosak’ ke neraka, tapi sebaliknya berkemungkinan besar memberi harapan kepada golongan yang kononnya ‘rosak’ ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Point 3:
---------
Setelah tamat khutbah tentang kepentingan berbuat kebajikan dan kasih sayang tuhan kepada manusia dan sesama manusia, pastor menjemput seorang hadirin ke hadapan. Rupa-rupanya dia adalah saudara baru, seorang pemandu teksi miskin lingkungan umur pertengahan 50-an yang kini memeluk agama Kristian, dan dia ingin berkongsi kisahnya secara lebih kurang.
Katanya hidupnya terasa lebih aman tenteram dan lebih bermakna setelah menjadi sebahagian dari komuniti gereja tersebut. Tambahnya lagi, yang paling dia hargai adalah sifat caring ahli komuniti gereja yang ditunjukkan terhadapnya.
Mereka selalu membantunya terutamanya dari segi memberi nasihat dan meniupkan semangat untuk dia meneruskan hidup dan berusaha secara halal, dia tak segan mengaku yang dulu dia pernah buat kerja-kerja haram seperti berjudi, jadi kaki pukul, jadi samseng seludup barang dll untuk menyara hidup.
Kisahnya disambut dengan tepukan hadirin dan pelukan dari pastor.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Habis sudah khutbah pastor, ada sedikit lagi bacaan doa dan sembahyang (sembahyang pun sama juga seperti baca doa, cuma lebih panjang sedikit, tak ada ritual yang elaborate).
Point 4:
---------
Pastor menamatkan majlis hari itu dengan mengumumkan yang ahli jawatankuasa gereja akan ke Johor lagi untuk memberi tambahan bantuan kerana yang pernah diberikan beberapa minggu lepas masih belum cukup dan menyeru kepada hadirin untuk menderma bagi tujuan itu. Satu bekas velvet berwarna biru di pass around dan hadirin yang bersemangat memberi, membuatkan bekas tersebut dipenuhi duit pada kadar yang memberangsangkan.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Majlis tamat, orang ramai mula berjalan keluar, ada yang bersembang-sembang sesama sendiri dan ada yang terus duduk (mungkin berzikir). Aku melangkah keluar dengan senyuman, dan sekali lagi tanpa menarik perhatian ataupun jari telunjuk sesiapa.
p/s: Ini bukan ceramah agama. Tolong fokus kepada point dan bandingkan dengan dengan cara point tersebut dilaksanakan oleh orang Melayu kuat agama di masjid. Mungkin ada perkara yang boleh di adaptasikan untuk kegunaan dan faedah orang Melayu kebanyakan.









